Pada tahun Hijrah yang ke enam, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya telah bertolak ke Mekah untuk mengerjakan Umrah.Berita mengenai Baginda s.a.w. telah sampai kepengetahuan puak Khuraish, mereka pun bersiap sedia untuk menghalang kemasukan Nabi Muhammad s.a.w Sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang berjumlah 1400 orang semuanya dengan semangat keislaman yang berkobar-kobar berazam hendak merempuh masuk ke Mekah walaupun perbuatan ini akan melibatkan pertempuran secara terbuka tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak bersependapat dengan mereka.
Selepas berfikir sedalam-dalamnya, Baginda s.a.w. memutuskan hendak membuat perjanjian dengan pihak Khuraish serta menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh mereka seluruhnya. Perjanjian yang berat sebelah ini menghampakan perasaan sabahat-sahabat Baginda s.a.w. tetapi kepatuhan dan taat setia mereka kepada Baginda s.a.w. tidak membenarkan mereka menyuarakan bantahan mereka terhadap perjanjian yang tidak adil ini.
Pahlawan Islam yang seberani-beraninya seperti Umar pun terpaksa tunduk kepada keputusan yang telah dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mengikut salah satu daripada syarat-syarat perjanjian ini orang-orang Khuraish yang menyerah diri kepada pihak orang Muslimin mesti dikembalikan kepada Khuraish sedangkan orang-orang Islam yang menyerah diri kepada pihak Khuraish tidak akan dikembalikan kepada kaum Muslimin.
Abu Jandal, seorang pemeluk agama Islam sedang menerima penyiksaan yang dahsyat ditangan Khuraish. Apabila ia mendengar yang Nabi Muhammad s.a.w sedang berkhemah diHudaibiah, dia pun melepaskan dirinya lalu lari ketempat perkhemahan Nabi Muhammad s.a.w pada masa Perdamaian Hudaibiah hendak ditanda tangani. Ayah Abu Jandal, Suhail, yang ketika itu belum lagi memeluk Islam menjadi jurucakap bagi pihak Khuraish dalam perundingan mereka dengan Nabi Muhammad s.a.w untuk merangka butir-butir Perdamaian Hudaibiah.
Dia menempeleng anaknya Abu Jandal serta memaksanya balik keMekah. Oleh kerana peristiwa ini berlaku ketika Perdamaian Hudaibiah belum berkuat kuasa lagi, NabiMuhammad s.a.w berpendapat yang perkara perlarian Abu Jandal kepihak Muslimin tidak tertakluk dibawah perjanjian itu, tetapi ayah Abu Jandal menolak hujah-hujah yang dikemukakan oleh Nabi Muhammad s.a.w
Penderitaan Abu Jandal ini menyayatkan hati para sahabat, tetapi apa kan daya oleh kerana inginkan perdamaian Nabi Muhammad s.a.w terpaksa menyerahkannya kembali kepada pihak Khuraish sambil menyampaikan kata-kata penawar yang berikut:"Janganlah hendaknya kamu bermuram durja, wahai Abu Jandal. Allah s.w.t. sudah tentu akan membuka jalan buat kamu."
Selepas Perdamaian Hudaibiah ditandatangai dan selepas kepulangan NabiMuhammad s.a.w. ke Madinah, seorang lagi penduduk Mekah yang beragama Islam telah melepaskan dirinya ke Madinah untuk mendapat perlindungan Nabi Muhammad s.a.w. Orang ini bernama Abu Basir. Permintaan orang yang kedua ini pun terpaksa ditolak oleh Nabi Muhammad s.a.w kerana menghormati Perdamaian Hudaibiah itu. Apabila tiba dua orang wakil puak Khuraish untuk membawanya pulang, ia pun diserahkan kepada orang-orang itu, tetapi sempat juga Nabi Muhammad s.a.w menasihatinya supaya bersabar dan mengharapkan pertolongan Allah s.w.t.
Dalam perjalanan ke Mekah, Abu Basir telah menggunakan helah untuk melepaskan diri. Kata Abu Basir kepada salah seorang daripada pengawal-pengawal itu: "Kawan, bagus sungguh pedang kamu itu."
Setelah pedangnya dipuji demikian rupa, orang itu pun berasa bangga lalu menghunuskan pedangnya sambil berkata:"Betul kata kau. Pedang ini bagus dan aku telah mencubanya keatas beberapa orang manusia. Nah, tengoklah kalau awak hendak." Sebaik sahaja pedang tiba ketangannya, Abu Basir pun membunuh orang itu. Melihat apa yang telah berlaku, pengawal yang seorang lagi cabut lari ke Madinah untuk melapurkan kejadian tadi kepada NabiMuhammad s.a.w.
Sementara itu Abu Basir sendiri telah tiba dihadapan Nabi Muhammad s.a.w Katanya kepada Nabi Muhammad s.a.w "Ya Rasulullah, tuan telah kembalikan saya untuk menunaikan janji-janji tuan kepada kafir-kafir Khuraish itu, tetapi saya sendiri tidak ada apa-apa yang hendak ditunaikan. Saya tidak berjanji, Saya melepaskan diri kerana takut kalau-kalau mereka merosakkan keimanan saya"
Sahut Nabi Muhammad s.a.w "Kamu dengan secara tidak sedar sedang menyalakan apa peperangan. Tentu aku berasa suka kalau engkau dapat diberi pertolongan."
Dari kata-kata Nabi Muhammad s.a.w Abu Basir berpendapat yang dia akan diserahkan kepada kafir Mushrikin sekiranya mereka membuat rayuan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian dia pun meninggalkan Madinah lalu menuju ke sebuah tempat dipadang pasir berdekatan dengan pantai. Tidak lama kemudian Abu Jandal pun menyertainya setelah melepaskan dirinya dari puak Khuraish. Bilangan mereka telah meningkat apabila lebih banyak orang perlarian Islam yang terlepas dari puak Khuraish menyertai mereka.
Ditempat persembunyian mereka ini, mereka telah menghadapi penderitaan hidup yang maha hebat tetapi oleh kerana tidak tertakluk kepada Perjanjian Hudaibiah, mereka telah mengganggu khalifah-khalifah Khuraish yang berlalu lalang berdekatan dengan tempat persembunyian mereka. Demikianlah hebatnya gangguan-gangguan yang mereka jalankan sehinggan puak Khuraish terpaksa menemui NabiMuhammad s.a.w dan merayu kepada Nabi Muhammad s.a.w.supaya berusaha memberhentikan gangguan-gangguan itu.
Mengikut cerita Abu Basir sedang menghadapi maut ditempat tidurnya apabila surat kiriman Nabi Muhammad s.a.w sampai ketangannya. Dalam surat itu Nabi Muhammad s.a.w telah membenarkan ia kembali ke Madinah. Dia meninggal sambil memegang surat yang dihantar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Demikianlah kisah yang menunjukkan kekuatan iman seorang hamba Allah s.w.t. Tidak ada suatu kuasa pun dipermukaan bumi ini yang dapat merosakkan keimanan seseorang asal saja keimanan itu merupakan keimanan yang sejati. Allah s.w.t. tetap akan menolong orang yang benar-benar beriman denganNya.
*Source Tanbihul_Ghafilin
0 comments:
Post a Comment