skip to main | skip to sidebar


Sunday, December 18, 2011

Tangan Menjadi Kering


Telah datang seorang wanita kepada Rasulullah. Tangan kananya kering sehingga dia meminta kepada Rasulullah supaya berdoa agar tangannya sembuh seperti sedia kala.

“Mengapa tanganmu menjadi kering begini?” tanya Rasulullah. 

Maka perempuan itupun menceritakan tentang mimpinya. Di dalam mimpinya, perempuan itu melihat hari kiamat telah tiba, neraka sudah dinyalakan dan syurga telahpun tersedia. Dikatakan dalam mimpinya, perempuan itu melihat ibunya berada di dalam neraka jahannam sambil memegang sehelai kain dan sepotong lemak. Dengan kain dan lemak itu Si ibu berlindung diri daripada bakaran api neraka.

Dalam mimpinya, dia berbicara : “Wahai ibuku! mengapa engkau berada di lembah ini sedangkan kau adalah seorang yang taat kepada Allah, bapa juga menyukaimu dan tidak pula membencimu.” 

Kemudian ibunya memberitahu anaknya bahawa semasa hayat di dunia dahulu, dia adalah seorang yang kedekut. “Dan lembah neraka ini memang disediakan untuk orang yang kedekut sepertiku,” kata ibunya.

“Lemak dan kain yang ada di tanganmu itu apa?” dia bertanya kepada ibunya. 

“Cuma sedekahlah yang dapat melindungiku dari bahan api neraka. Tetapi kain dan lemak inilah yang dapat menyelamatkanku kerana banyak ini sahaja yang aku sedekahkan semasa hayatku di dunia.” Jawab ibunya.

Anaknya lalu bertanya di mana tempat tinggal ayahnya. Ibunya lalu menjawab, “bapamu sekarang bersenang-lenang di syurga, ini adalah kerana dia seorang yang dermawan,” jawab ibunya lagi.

Dari neraka, anaknya pun menuju ke syurga. Dia melihat ayahnya berada di pinggir telaga Rasulullah s.a.w. Dia melihat ayahnya sedang memberi minum kepada orang-orang dermawan dengan gelas yang diambil dari tangan Sayyidina Ali. Kemudian perempuan itu mengadu kepada ayahnya tentang keadaan ibunya yang tinggal di neraka. 

“Ibu sangat dahaga wahai ayahku, mengapa engkau memberi minum kepada orang lain tetapi tidak kepada ibu?” tanya anaknya. 

“Anakku, ibumu sekarang tinggal di tempat yang disediakan bagi orang yang kedekut seperti ibumu dan Allah mengharamkan air telaga ini untuk mereka,” jawab ayahnya.

Dalam mimpi itu, kerana terlalu kasihankan ibunya, wanita itu tetap mengambilnya dengan sendiri, lalu terdengar suara :  

“Semoga Allah mengeringkan tanganmu kerana memberi air telaga Rasulullah (Al-Kauthar) kepada penghuni neraka.”

Apabila perempuan itu bangun daripada tidur, tiba-tiba dia dapati tangannya benar-benar kering. Disebabkan itulah dia datang menemui Rasulullah agar disembuhkan tangannya.

Diriwayatkan, Rasulullah lalu meletakkan tongkatnya di atas tangan wanita yang kering itu seraya berdoa : “Demi Allah, demi cerita yang telah diperkatakan wanita ini, kupohon agar engkau sembuhkan tangannya seperti sediakala.” Dengan izin Allah tangan perempuan itupun sembuh seperti sediakala.

Maka, fahamlah wanita tersebut bahawa banyak mana amalan kita, sekiranya kita bakhil atau kedekut, kita tetap akan masuk neraka. Dan jelaslah bahawa perbuatan kedekut itu sangat-sangat dibenci oleh Allah.

Pengajaran

1. Di akhirat kelak tiada siapa yang dapat membantu kita.

2. Di dunia yang sementara adalah tempat mengumpul bekalan menuju ke akhirat.

3. Di dunia mungkin kita bersama, namun di akhirat adakah kita masih bersama atau sebaliknya.

4. Kadangkala mimpi yang dialami itu adalah benar dan ia merupakan petunjuk daripada Allah.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

 

Kisah Kisah Islam Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger