Kisah Nabi S.A.W Mengalahkan Jaguh Gusti Arab
Rukanah satu nama yang amat terkenal di Kota Mekah sebagai seorang yang kuat dan bertubuh sasa. Hampir tidak ada seorang pun yang tidak mengenalinya, seorang yang perkasa dan jarang ada orang yang berani menentangnya. Rukanah adalah seorang jaguh gusti yang ulung. Oleh kerana itu beliau berasa bangga dengan kekuatannya, malah beliau berani mencari lawannya. Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui akan kemashuran Rukanah itu. Kekuatan dan keangkuhannya sering diperkatakan orang ramai. Terlintas dalam fikiran Nabi jika Rukanah ini dapat diajak memeluk Islam, beliau boleh mendatangkan kesan kepada usaha dakwah Rasulullah s.a.w.
Pada suatu ketika datanglah kesempatan Nabi untuk berdakwah dengan baik kepada Rukanah dan Baginda berharap berhasil apa yang terlintas difikirannya itu. Waktu itu Rukanah berada di Syi’b (jalan dekat bukit Mekah). Nabi bertemu dengannya dan mengajak beliau beradu kekuatan sebagai satu jalan mendakwahkan Rukanah.
“Wahai Rukanah!, belumkah engkau bertakwa kepada Allah dan menerima agama yang aku sampaikan?” demikian Nabi s.a.w. berkata kepadanya.
“Muhammad, apakah buktinya tanda di atas kebenaran agama engkau?” jawab Rukanah.
“Bagaimana jika aku dapat mengalahkan engkau dalam bergusti, adakah engkau akan beriman kepada Allah dan RasulNya?” bertanya Nabi s.a.w.
Baiklah wahai Muhammad.” Rukanah menyambut pelawaan.
“Bersiaplah engkau,” perintah Nabi.
Rukanah pun menyiapkan diri dan berasa yakin akan dapat mengalahkan Rasulullah s.a.w. Ketegapan tubuh badannya boleh membanting Muhammad dalam waktu singkat sahaja dan beliau menganggap tentangan Muhammad adalah olok-olok dan main-main sahaja. Setahunya Nabi Muhammad hanya berdakwah sepanjang hari, tidak ada berlatih tenaga untuk menghadapinya. Dalam keadaan kesombongan sebagai jaguh gusti, Rukanah bersiap sedia dalam kebiasaan beliau bergusti. Nabi s.a.w. pun segera mendekatinya dan mengambil tempat dan menunggu kesempatan untuk menghempas dan mengalahkan lawannya.
Nabi dapat memegang badan Rukanah dan dengan cepat membantingnya. Rukanah menjadi terkejut dan amat hairan kenapa Muhammad berhasil mengalahkannya sedangkan beliau mengira akan dengan mudah dapat menjatuhkan Muhammad. Sesungguhnya beliau berasa tidak berpuas hati dan meminta diulang kembali beradu tenaga.
Nabi s.a.w. dengan senang hati menyanggupinya. Sekali lagi Baginda dapat membanting Rukanah dan mengalahkannya. Manakala Rukanah bertambah kehairanan seolah-olah beliau tidak mempunyai tenaga bertahan seperti yang sudah-sudah beliau beradu tenaga. Diulanginya lagi dan untuk ketiga kalinya juga Rukanah tidak Berjaya dan mengakui kekalahannya.
“Sesungguhnya hairan aku dengan keadaan engkau, Muhammad!” demikian katanya kepada Nabi selepas beradu itu.
Selain Rukanah, Nabi s.a.w. juga telah Berjaya menentang seorang jaguh iaitu Abu Aswad Al-Jumahy yang masyhur dengan keistimewaannya sendiri. Pernah beliau tegak di atas sekeping kulit lembu dan menyuruh 10 orang cuba menarik kulit itu dari tapak kakinya. Tetapi tidak berhasil ditarik keluar dan beliau tegak berdiri bagaikan batu besar, malahan kulit itu pula yang koyak dan terpisah kerana tarikan tersebut.
Nabi telah mengajaknya berlawan sebagai satu jalan dakwah kepadanya memeluk Islam.
“Jika engkau dapat menjatuhkan aku, akan akan beriman kepada engkau,” demikian kata Abu Aswad kepada Nabi. Beliau sendiri yang memberikan syarat, berlainan Rukanah yang diajak Nabi untuk beriman jika kalah.
Cabaran Aswad itu diterima oleh Nabi s.a.w. Nabi Berjaya menjatuhkan Aswad sehingga beliau mengalami kekalahan yang memalukan. Walaupun begitu beliau telah tidak menepati janjinya, beliau tidak jadi beriman seperti yang diperkatakan sebelum itu. Betapa juga keadaannya, hakikatnya Nabi s.a.w. telah Berjaya menundukkan jaguh-jaguh gusti yang terkenal gagah perkasa di Mekah.
Sesungguhnya tenaga luar biasa Nabi itu berasal dari iman yang kuat kepada Allah. Baginda telah melakukan dakwah kepada orang ramai menurut kemampuan dan keadaan mereka masing-masing. Jaguh-jaguh gusti dihadapi Baginda bukan seperti menghadapi masyarakat dan orang-orang ternama Quraisy dengan ayat-ayat Allah. Walaupun kesannya belum mencapai seperti pengharapan Rasulullah, tetapi keberanian dan ketabahan Nabi s.a.w. menentang orang kuat Mekah menjadi perhatian umum akhirnya.
Aswad yang tidak menepati janji itu bukan sahaja kalah tetapi kemudiannya berdusta telah menjatuhkan maruahnya sendiri dan Nabi s.a.w. Berjaya meningkatkan dakwahnya.
*Source Rangerboy
0 comments:
Post a Comment