skip to main | skip to sidebar


Thursday, January 14, 2010

Benci Memakan Diri


Di zaman Samnun al-Muhib terdapat seorang yang terkemuka bernama Ghulam Khalik. Ghulam Khalil sangat membenci golongan sufi. Golongan sufi ketika itu sering diganggu dan disakiti oleh Ghulam Khalil. Ghulan Khalil berbuat demikian kerana mahu menghentikan kegiatan orang-orang sufi tersebut. Namun golongan sufi tetap meneruskan kegiatan mereka. Ini menyebabkan cita-cita Ghulam Khalil yang berniat jahat itu sentiasa menemui kegagalan.

Kemudian Ghulam Khalil menukar taktiknya pula. Sebelum ini di menentang secara terang-terangan, kali ini dia menikam kaum sufi tersebut secara senyap-sanyap. Dia menyamar sebagai guru mursyid dengan tujuan untuk memusnahkan golongan sufi dari dalam. Sebagai orang yang hampir dengan Khalifah, Ghulam Khalil menggunakan peluang ini untuk menghapuskan golongan sufi.

Dengan berbagai-bagai cara, dia menghasut dan mempengaruhi khalifah supaya kaum sufi itu dapat dihalau dari negeri itu. Di antara kaum sufi itu yang amat dibenci oleh Ghulam Khalil termasuklah Samnun al-Muhib. Ghulam Khalil sering mencari bermacam alasan untuk memfitnah Samnun namun masih tidak berjaya. Dimasa yang sama terdapat seorang wanita cantik lagi kaya yang berminat dengan Samnun. Dia ingin mengahwini lelaki sufi itu. Wanita itu datang sendiri menemui Samnun dan menyatakan hasrat hatinya. Namun hajat wanita itu tidak kesampaian.

Samnun yang belum tergerak untuk menerima wanita itu telah menolak hajatnya secara baik. Wanita itu tidak putus harapan, dia bertemu pula dengan Junaid al-Baghdadi. Dia meminta jasa baik Junaid supaya memujuk Samnun supaya sudi berkahwin dengannya. Junaid bukan sahaja tidak memenuhi hajatnya malah meminta wanita itu beredar dari sisinya. Ini menyebabkan wanita itu berasa amat sakit hati. Dia segera mendapatkan Ghulam Khalik lalu memburuk-burukkan Samnun.

Ghulam Khalil berasa sungguh gembira kerana dengan pengaduan wanita itu memberinya peluang untuk memfitnah Samnun. Tanpa berlengah lagi, Ghulam Khalil segera pergi menemui khalifah dan melaporkan pengaduan wanita kaya itu. Khalifah yang sudah termakan hasutan Ghulam Khalil lantas menjatuhkan hukuman pancung ke atas Samnun.

Tiba masanya hukuman dijalankan, tukang pancung bersedia dengan pedangnya. Sewaktu khalifah mahu memberi arahan 'pancung' tiba-tiba lidahnya kelu dan tenggoroknya dirasakan tersumbat. Ini menyebabkan hukuman pancung terhadap Samnun tidak dapat diteruskan pada hari itu. Hukuman itu ditunda pada hari lain yang masih belum ditetapkan tarikhnya.

Malam itu, khalifah bermimpi dan terdengar suara menyatakan: "kerajaanmu bergantung kepada hidupnya Samnun!".

Mimpi itu benar-benar membimbangkan khalifah. Esoknya awal-awal pagi lagi, khalifah memanggil Samnun dan membebaskannya dari segala tuduhan. Malah khalifah memberikan pula hadiah dan penghargaan yang tinggi kepada ulama sufi itu.

Penghormatan yang diperolehi oleh Samnun itu menambahkan lagi sakit hati Ghulam Khalil. Ghulam Khalil menyimpan rasa benci terhadap Samnun bertahun lamanya. Suatu ketika, Ghulan Khalil telah ditimpa penyakit kusta yang semakin hari semakin parah. Keadaan Ghulam Khalil itu telah disampaikan kepada Samnun.

Samnun lalu berkata, "Mungkin ada beberapa orang sufi yang tidak sempurna telah berniat jahat dan melakukan perbuatan yang tidak baik kepada dirinya sendiri." "Sememangnya Ghulan Khalil itu seorang yang gigih menentang kaum sufi. Malah dia berulang kali telah menyusahkan kaum sufi dengan perbuatannya. Moga-moga Allah menyembuhkan penyakit yang dihadapi olehnya," sambung Samnun lagi.

Apa yang diucapkan oleh Samnun itu sampai kepada Ghulam Khalil. Ghulam Khalil menyedari di atas segala kesalahannya lalu bertaubat kepada Allah. Dia menyerahkan segala hartanya kepada golongan sufi. Namun tidak seorang pun dari kaum sufi itu yang mahu menerimanya walaupun sedikit.

Janganlah mudah membenci dan mengkhianati golongan yang hampir dengan Allah kerana mereka biasanya mendapat pembelaan dari-Nya.

*Source Buku Kisah-Kisah Sufi.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

 

Kisah Kisah Islam Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger