Kehadiran Malaikat Maut
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran Malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan Malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat. Sesungguhnya Malaikat maut menjalankan arahan Allah s.w.t dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.
Jika Allah s.w.t menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut. Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau sesaat. Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah s.a.t. jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian,yang demikian itu ada hikmah disebaliknya.
Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang,ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar,kerana Allah Ta'ala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati,untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu,membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.
Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan,ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna. Dikalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah s.w.t masih menyayanginya.
Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh itu jika Allah s.w.t mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah s.w.t sedang murka terhadap dirinya, sebab itula Allah tidak beri amarah terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.
*Source Buku Rahsia Malaikat Dan Keajaibannya.
0 comments:
Post a Comment