Aidiladha Erti Sebuah Pengorbanan Dan Sejarah Dua Nabi Allah
Merenung kembali jejak-jejak sirah para nabi, perayaan ini lebih sinonim dengan kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s. Catatan sirah kedua-dua nabi ini, menjadi satu inspirasi kepada jutaan umat Islam ke arah rasa taqwa kepada Allah s.w.t. tanpa berbelah bagi. Malah ia juga menjadi gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang nabi kepada Tuhannya, seorang suami kepada isterinya, Siti Hajar serta kasih antara ibu dan anaknya. Terdapat tiga peristiwa penting yang boleh dikutip daripada catatan sirah ini.
Pertama, peristiwa Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus.
Ia kini menjadi tumpuan jutaan umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke lima, Mekah atau dahulunya di kenali sebagai Bakkah.
Peristiwa kedua merupakan ujian Allah s.w.t. ke atas Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s yang berakhir dengan penyembelihan seekor kambing biri-biri sebagai ganti kepada anaknya.
Peristiwa ini menunjukkan betapa patuhnya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi arahan yang diberikan oleh Allah tanpa rasa ragu-ragu mahupun curiga:
Nabi Ismail a.s. berkata: ``Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)
Dan ketiga, pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua nabi Allah yang mulia ini.
``Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat. ``Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: ``Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan sujud...'' (Al-Baqarah:125)
Al-Quran memberikan gambaran yang jelas tentang keperibadian Nabi Ibrahim di dalam surah Al Nahl ayat 120-122 bermaksud:
``Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah, dan seorang yang selalu berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya. ``Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), (lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukkannya kepada jalan yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia.``Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.'' (An-Nahl:120-122)
Baitullah yang juga dikenali sebagai Kaabah, merupakan arah kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kaabah pada mulanya telah dibina oleh Nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia. Apabila banjir besar melanda Mekah, Kaabah telah rosak.
Nabi Ibrahim membinanya semula di atas tapak yang sama. Baginda meminta Nabi Ismail mencari sebiji batu bagi menandakan penjuru bagi Kaabah. Maka Jibril memberikan Nabi Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama Hajarul Aswad. Semasa batu itu diletakkan, mereka berdoa,
``Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): ``Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui. ``Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada-Mu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. ``Sesungguhnya Engkaulah yang maha penerima taubat lagi maha penyayang.'' (Al-Baqarah:127-129)
Kaabah merupakan kiblat, yakni arah tuju Muslim ketika menunaikan kewajipan solat. Meskipun Muslim mengarahkan dirinya kepada Kaabah ketika solat, Muslim tidak menyembahnya. Hakikatnya, yang layak disembah hanyalah Allah s.w.t. Firman Allah menjelaskan:
``Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menghadap ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidul Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.'' (Al Baqarah: 144).
Struktur berbentuk kubik ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Ia menjadi lambang perpaduan jutaan Muslim di seluruh dunia. Misalnya dalam menunaikan ibadah solat, Muslim menghadapkan dirinya ke arah kiblat yang satu untuk menyembah Allah yang satu. Perpaduan merupakan elemen penting di dalam Islam ke arah persaudaraan yang lebih bermakna. Tambahan lagi sejarah membuktikan, peta pertama dilukis oleh seorang Muslim dengan meletakkan tanda arah selatan di atas dan utara di bawah.
Secara geografi, kedudukan Kaabah itu sendiri terletak di tengah-tengah kedudukan dunia. Meskipun Barat menukarkan tanda arah utara di atas dan selatan di bawah, Kaabah masih kekal kedudukannya di tengah-tengah peta dunia. Tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji di Masjidul Haram sekeliling Kaabah, secara simboliknya menggambarkan kepercayaan pada Tuhan yang satu sebagaimana setiap pusingan menghasilkan satu bulatan.
``Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. ``Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.'' (Al Hajj 27-28).
0 comments:
Post a Comment