skip to main | skip to sidebar


Monday, May 10, 2010

Lelaki Panjang Umur pada Zaman Nabi Sulaiman


Nabi Sulaiman memiliki kebolehan bercakap dengan semua binatang. Selain menjadi nabi, beliau juga adalah seorang raja yang agung. Dengan izin Allah, Nabi Sulaiman berjaya menakluk negeri Ratu Balqis dan mengajak ratu itu memeluk agama Islam.

Al- Yafi'i berkata, "Allah mewahyukan kepada Nabi Sulaiman, ' Keluarlah ke tepi laut. Di sana engkau dapat melihat sesuatu yang ajaib dan luar biasa'.

Nabi Sulaiman pun keluar dari istananya dan menuju ke arah laut diiringi rombongan jin dan manusia. Apabila beliau sampai di tempat yang Allah maksudkan, Nabi Sulaiman melihat keadaan di sekelilingnya tetapi beliau tidak melihat apa-apa yang luar biasa. Jadi, Nabi Sulaiman meminta jin menyelam ke dasar laut dan  membawakan apa-apa yang ajaib dari sana. Jin Ifrit segera menyelam mengikut perintah Nabi
Sulaiman.

Beberapa saat kemudian, ia naik semula dan berkata kepada Nabi Sulaiman, 'Aku tidak melihat apa-apa yang ajaib'.

Nabi Sulaiman tidak berputus asa dan memerintahkan jin lain pula menyelam. Jin yang kedua turut tidak bertemu apa-apa pun yang ajaib walaupun ia menyelam lebih dalam daripada jin yang pertama.
Nabi Sulaiman kemudian berkata kepada Aashif bin Barkhiya, seorang yang mendapat ilmu terus daripada Allah, 'Wahai Aashif bin Barkhiya, bawakan kepadaku sesuatu yang ajaib yang ada di dalam lautan ini'.

Aashif terus berdoa kepada Allah dan memohon Allah menunjukkan keajaiban itu kepadanya. Tiba-tiba memancar cahaya dari dasar laut itu dan kemudian muncul sebuah kubah yang dibina daripada mutiara putih. Ia mempunyai empat pintu yang setiap satunya diperbuat daripada intan permata, batu yakut, mutiara dan batu yang berwarna hijau.

Nabi Sulaiman kagum melihat kubah itu lalu beliau berdoa kepada Allah memohon Allah membuka pintu kubah itu. Dengan izin Allah, semua pintu kubah itu terbuka tetapi tidak ada setitis air pun yang memasuki kubah itu. Di tengah-tengah kubah itu kelihatan seorang pemuda yang berpakaian bersih dan berwajah tampan. Ternyata pemuda itu sedang berdiri dalam solatnya. Apabila dia selesai solat, Nabi Sulaiman masuk ke dalam kubah itu lalu memberi salam kepada pemuda yang menghuni kubah itu.

Nabi Sulaiman bertanya kepadanya, 'Siapakah kamu? Malaikat, Jin ataupun manusia?'

 Pemuda itu menjawab, 'Aku manusia'.

 'Mengapa kamu tinggal di dalam kubah yang berada di dasar lautan ini?' tanya Nabi Sulaiman lagi.

Pemuda itu berkata, 'Wahai nabi Allah, ayahku dahulu seorang yang lumpuh dan ibuku pula buta. Tidak ada yang menjaga dan melayani mereka selain aku. Aku menjaga mereka selama tujuh tahun. Sewaktu ibunya hampir hendak meninggal dunia, dia berdoa kepada Allah, 'Ya  Allah, panjangkanlah umur anakku, limpahkan sifat qanaah kepadanya dan jadikanlah dia anak yang taat kepadamu. Tempatkankanlah anakku di suatu
tempat di mana syaitan tidak dapat mengganggunya'.

'Sejak kematian ibu bapaku, aku meninggalkan rumah dan datang ke tepi lautan ini. Tiba-tiba aku melihat kubah ini dan aku masuk ke dalamnya. Sebaik sahaja aku memasuki kubah ini, malaikat membawanya ke dasar laut.'

Nabi Sulaiman bertanya lagi, 'Waktu itu, kamu berada pada zaman mana?'
Dia menjawab, 'Zaman Nabi Ibrahim'.

Dengan demikian, umur pemuda itu mencapai kira-kira 1,500 tahun tetapi wajahnya tetap muda dan tidak ada sehelai uban pun di atas kepalanya.

'Bagaimana kamu makan dan minum?' tanya Nabi Sulaiman.

Pemuda itu menjawab, ' Setiap hari ada burung yang datang membawakan makanan kepadaku. Apabila aku memakannya, aku merasakan makanan yang ada di seluruh dunia. Aku kenyang dan puas, hilang rasa laparku dan hilang hausku. Hilang juga rasa panas dan sejuk, rasa mengantuk, jemu dan malas'.

Kemudian Nabi Sulaiman bertanya, 'Adakah kamu suka tinggal di sini ataupun kamu mahu mengikutku balik ke atas daratan?'

'Kembalikan sahaja aku ke dasar laut wahai nabi',jawabnya.

Dengan itu, Nabi Sulaiman pun bersalaman dengan pemuda itu dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian, Nabi Sulaiman segera meminta Aashif mengembalikan kubah itu ke dasar laut.

Lihatlah bagaimana Allah menerima doa seorang ibu yang begitu luar biasa

*Source Roslina-Mustamin


0 comments:

Post a Comment

ShareThis

 

Kisah Kisah Islam Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger