Pada suatu hari, seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad dan berkata, 'Ya Rasulullah, ayahku hendak mengambil semua wang hasil susah payahku.'
Nabi berkata, 'Baliklah ke rumah dan bawa ayahmu ke sini'
Selepas itu malaikat Jibrail turun dan menyampaikan salam serta pesan Allah kepada Nabi Muhammad. Jibrail berkata, 'Wahai Muhammad, Allah mengucapkan salam kepadamu dan berpesan apabila bapa lelaki tadi datang ke sini, engkau perlu bertanya kepadanya apa yang ada dalam hatinya yang tidak pernah di dengar oleh telinganya.'
Tidak berapa lama kemudian, lelaki itu datang bersama bapanya. Nabi pun bertanya kepada lelaki itu, 'Mengapa anakmu mengadu kepadaku dan mengatakan engkau hendak mengambil semua hartamu?'
Bapa lelaki itu menjawab, 'Tanyakan sahaja kepadanya wahai Rasulullah'.
Nabi berkata lagi, ' Sekarang ceritakan kepadaku apa yang kamu katakan dalam hatimu yang tidak pernah di dengar oleh telingamu.'
Wajah suram bapa lelaki itu berubah menjadi cerah dan gembira. Dia berkata, ' Demi Allah, Allah
berkenan menambah kekuatan imanku dengan kerasulanmu. Memang aku pernah menangisi nasib malangku dan kedua-dua telingaku tidak pernah mendengarnya.'
Bapa lelaki itu melihat anaknya dan berkata dengan sedih sambil berlinangan air mata, ' Aku mengasuhmu sejak bayi, memeliharamu sewaktu kamu masih kecil, semua usahamu kamu ambil sepuas-puasnya. Apabila kamu sakit di waktu malam, hatiku resah dan gundah gulana. Mataku terpejam tetapi aku tidak dapat tidur memikirkanmu, seakan diriku yang sakit. Airmataku berlinang melihat kamu menderita.
Hatiku dihantui ketakutan, takut maut datang menghampirimu. Apabila kamu dewasa dan mencapai apa yang kamu inginkan, kamu membalas jasaku dengan kekerasan, kekasaran dan kekejaman. Seolah-olah dirimu adalah pemberi nikmat. Kini kamu melayan aku umpama jiranmu yang jauh.' 'Kamu tidak memenuhi kewajipanmu kepada bapa dan ibumu. Kamu sentiasa menyalahkan kami, membentak dan mengherdik bapa dan ibumu yang semakin tua!'
Ketika itu nabi terus menarik baju anaknya dan berkata, ' Dirimu dan harta kekayaanmu, adalah milik orang ayahmu!!'
*Source Roslina-Mustamin
0 comments:
Post a Comment