Pastinya Tsunami yang melanda negara matahari terbit baru-baru ini meninggalkan kesan yang mendalam dari segi mental dan fizikal terutamanya kepada rakyat Jepun sendiri. Ada yang kurang endah kesedihan mereka dengan melukis kartun. Ada yang mempertahankan rakyat Jepun. Ada juga yang membuat spekulasi, menyebarkan scam berkenaan letupan loji nuklear dan sebagainya.
Apa-apa pun yang berlaku semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Saya di sini bukan mahu bersyarah yang bukan-bukan. Saya di sini mahu memberikan peringatan kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan. Jepun sememangnya sebuah negara yang terkenal dengan teknologi modennya. Jepun juga sebuah negara yang boleh dikatakan sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana alam terutamanya gempa bumi. Pelbagai ciptaan dibina khas dengan mengambil kira faktor bencana alam.
Contohnya, bangunan-bangunan mereka dibina khas supaya dapat mengurangkan kesan gegaran gempa bumi. Reaktor nuklear pula dikatakan dibina mengambil kira faktor alam sekitar.Namun musnah! musnah! Musnah sama sekali. Setinggi manapun teknologi, semoden manapun ciptaan, secanggih mana pun binaan, dengan satu ombak Tsunami dalam masa beberapa minit sahaja, musnah semuanya.
Tambah merunsingkan lagi, isu kebocoran loji nuklear di sana. Kita sedia maklum bahawa radiasi nuklear akan meninggalkan kesan yang buruk sama ada pada kesihatan atau alam sekitar.Tidak lain tidak bukan ini satu peringatan daripada Allah, peliklah jika ada golongan yang beriman menafikannya. Peringatan Allah bahawa kemodenan atau kecanggihan yang dicipta manusia ini sama sekali tidak mampu melawan kuasa Allah. Peringatan kepada manusia-manusia yang lalai pada suruhan dan larangan Allah.
Jika hendak dibandingkan dengan Tsunami yang berlaku baru-baru ini, tidak terbayang bagaimanakah situasi pada hari kiamat nanti. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Zalzalah:
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, [1]Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, [2]Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” [3]Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: [4]Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). [5]Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. [6]Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [7]Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [8]
Bersama-samalah kita mengambil iktibar daripada musibah yang menimpa. Sesungguhnya ia adalah satu peringatan daripada Allah. Bantulah mereka selagi mampu! Jangan lupa untuk mendoakan keselamatan sahabat-sahabat kita di sana khususnya, dan rakyat Jepun amnya atas nama kemanusiaan.
Wallahua’lam.
*Source Azzariyat.
0 comments:
Post a Comment